Tempatan
10 February 2015
Dibelit Ular Ketika Sedang "BERSEDAP"
Kisah benar ini diambil dari sebuah
blog untuk dijadikan pengajaran kepada pemuda atau pemudi. Ambillah
iktibar dari kisah benar ini.
Melihat pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta
baru-baru ini mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan
terkutuk di dalam hutan terutamanya di pusat-pusat perkelahan
mengingatkan….
Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu
menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu,” beritahu Ustaz Abdullah
Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang
tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi
penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan
remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si
wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan,
hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.
“Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi.
Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak
dapat membezakan antara halal dan haram,” tegas beliau dengan nada
kesal. Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di
pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah
menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu
datang untuk meminta pertolongannya.
“Apa yang boleh saya bantu encik?”
Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk
menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu
mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka. Ustaz Abdullah
yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana
berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah
besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan
agar kekusutan yang dialami mereka terlerai.
“Ustaz…macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur,
saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya.
Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar
datang membelitnya."
“Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas.
Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung
memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu.
“Awak pernah pukul ular ke?”
Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu
menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular.
Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular
dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering
terkejut.
Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta
air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan
matanya tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi macam ni,
pasti ada sebabnya.
Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak
akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua
bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang
itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.
Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan
sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak perlu hendak
malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur
hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya
berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan
kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah. Si
perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk
ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan mata
dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular
sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering
diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,” akui
lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.
Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus
bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali
setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya
pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian
itu berlaku sebelum mereka bertunang.
Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang
sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat
perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah
mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari
tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan
bercengkerama.
Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ
pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana,
pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu.
Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada
gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap.
“Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit
ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam
bulan.
Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata lelaki
itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang
mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam
semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak
berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang
manusia pun tidak kelihatan.
Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa
gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di
sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang
membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka
berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian
lain pula.
Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas
suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si
perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula
menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa
menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor
ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram.
“Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya
tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan
membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami
hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat
belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba
pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular
itu menjerut tubuh mereka.
“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada
lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus
diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana
belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti
tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu
lagi.
Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah
kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya
tidak terdaya menandingi ular besar itu.
Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak
sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak
membaham kepala lelaki tersebut.
Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin
bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar
ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian
pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali
mengenai kepala ular tersebut
“Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu
bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan
semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk
menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti
siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada
mulanya dia sedang mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi.
Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak
teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya
patah dua batang tulang rusuk.
Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan
merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh
keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering
dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan
akibat patah tulang rusuk.
Akibat “badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau
kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak
ular. Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa
sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau
telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan
perbuatan zina.
Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit
ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu.
“Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia
bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera
bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak
mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah
dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,” nasihat
beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji
akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin.
Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk
mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan
itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang.
Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu
menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh
sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.
sumber